Secara umum, keradangan merujuk kepada tindak balas semulajadi badan terhadap agen yang merosakkan contohnya kerosakan tisu atau kecederaan atau jangkitan yang melibatkan leukosit mononuklear (monosit dan limfosit). Keradangan akut berlaku dalam tempoh yang singkat, kebiasaanya selama beberapa jam atau hari, bergantung kepada tahap kecederaan. Keradangan yang terkawal akan memberi manfaat kepada badan dengan melindungi daripada kerosakkan tisu atau sebarang agen berbahaya. Sebaliknya, keradangan kronik berlaku dalam tempoh yang agak lama sehingga beberapa bulan, tahun dan juga seumur hidup.
Apakah yang akan terjadi jika keradangan tidak dirawat?
Keradangan kronik yang dibiarkan tidak dirawat akan merangsang badan untuk terus menghasilkan bahan kimia keradangan, menyebabkan kerosakan pada sel-sel sihat dalam jangka masa yang panjang. Lebih membimbangkan adalah, keradangan kronik berkait rapat dengan penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular dan kencing manis jenis 2 (rajah 1).
Rajah 1: Kesan keradangan kronik
Penyakit kronik membunuh 41 juta orang setiap tahun, menyumbang 71% daripada jumlah kematian global, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Penyakit kronik atau juga dikenali sebagai penyakit tidak berjangkit merujuk kepada sebarang penyakit yang berpanjangan dan melibatkan multifaktorial termasuklah genetik, tingkah laku dan persekitaran (jadual 1).
Genetik | Tingkah laku | Persekitaran |
Mutasi gen | Merokok, terdedah kepada asap rokok sekunder | Pencemaran udara, pencemaran air |
Pemakanan tidak sihat | Radiasi ultra-ungu | |
Kurang aktiviti fizikal | Bahan kimia yang mengganggu endokrin | |
Penggunaan alkohol secara berlebihan | Pencemaran organik yang berterusan |
Jadual 1: Faktor – faktor penyakit kronik
Cara mengukur keradangan?
Keradangan kronik adalah pembunuh senyap. Ia tidak mempunyai gejala atau tanda yang jelas sehingga ia mengganggu dan merosakkan sel-sel yang sihat. Mengukur keradangan tidaklah semudah mengukur berat badan kita di atas penimbang. Ia adalah multifaktorial, memerlukan interpretasi pakar. Satu keputusan ujian tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis keadaan keradangan. Walau bagaimanapun, sebagai "panduan", keradangan boleh diukur dengan penanda keradangan* seperti kadar sedimentasi erythrocyte (SED), protein c-reaktif (CRP) dan plasma viscosity (PV) melalui ujian darah. Sentiasa dapatkan nasihat pakar apabila menginterpretasikan keputusan tersebut.
Ujian kadar sedimentasi erythrocyte (SED)
Ujian SED mengukur seberapa cepat sel darah merah jatuh atau mendap di bahagian bawah tabung uji yang mengandungi sampel darah. Proses "jatuh" atau "mendap" ini dipanggil pemendapan. Lebih cepat kadar pemendapan, lebih tinggi tahap keradangan dalam badan.
- Bacaan normal**:
- Lelaki: 0 – 10 mm/hr
- Wanita: 0 – 20 mm/hr
Ujian protein c-reaktif (CRP)
- CRP ialah protein yang dihasilkan oleh hati dan dibebaskan ke dalam aliran darah sebagai tindak balas kepada keradangan. Tahap CRP yang tinggi dalam darah menunjukkan terdapat keradangan atau jangkitan dalam badan anda.
- Bacaan normal**:
- 10 mg/L
Ujian Plasma Viscosity (PV)
- Selain daripada ujian ESR dan CRP, ujian PV boleh digunakan sebagai penanda keradangan. PV digunakan untuk mengakses kelikatan darah dan secara tidak langsung mengukur kandungan protein dalam bahagian plasma (cecair) darah. Nilai PV yang lebih tinggi daripada tahap normal berkemungkinan dikaitkan dengan keadaan keradangan.
- Bacaan normal**:
- 1.50 – 1.72 mPa.s
* Beberapa keadaan boleh mempengaruhi bacaan penanda keradangan. Interpretasi memerlukan penilaian yang teliti oleh pengamal klinikal dan pakar perubatan.
** Bacaan normal mungkin terdapat sedikit perbezaan antara makmal.
Mencegah Keradangan
Keradangan adalah diperlukan untuk pertahanan badan, namun keradangan yang kronik boleh meningkatkan risiko pelbagai penyakit. Gaya hidup sihat merupakan cara terbaik bagi membendung keradangan.
Rujukan
Brigden, M. (1999). Clinical utility of the erythrocyte sedimentation rate. American Family Physician, 60, 1443–1450.
Brigham and Women’s Hospital. (n.d.). Environmental Risk Factors for Chronic Disease . Retrieved January 25, 2022, from https://www.brighamandwomens.org/research/departments/channing-division-of-network-medicine/environmental-risk-factors-for-chronic-disease
CDC. (n.d.). About Chronic Diseases . Retrieved January 25, 2022, from https://www.cdc.gov/chronicdisease/about/index.htm
Furman, D., Campisi, J., Verdin, E., Carrera-Bastos, P., Targ, S., Franceschi, C., Ferrucci, L., Gilroy, D. W., Fasano, A., Miller, G. W., Miller, A. H., Mantovani, A., Weyand, C. M., Barzilai, N., Goronzy, J. J., Rando, T. A., Effros, R. B., Lucia, A., Kleinstreuer, N., & Slavich, G. M. (2019). Chronic inflammation in the etiology of disease across the life span. Nature Medicine 2019 25:12, 25(12), 1822–1832. https://doi.org/10.1038/s41591-019-0675-0
Mayo Clinic. (2021, June 25). C-reactive protein test. Circulation; NLM (Medline). https://doi.org/10.1161/CIR.0000000000000678
Wehby, G. L., Domingue, B. W., & Wolinsky, F. D. (2018). Genetic Risks for Chronic Conditions: Implications for Long-term Wellbeing. The Journals of Gerontology: Series A, 73(4), 477–483. https://doi.org/10.1093/GERONA/GLX154